Monday, February 29, 2016

Mahathir Keluar UMNO Sekali Lagi..


Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengisytiharkan keluar Umno buat kali kedua sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata membuat keputusan itu kerana Umno bukan lagi Umno dan hanya menjadi parti untuk mempertahankan Najib sebagai presidennya.

“Saya tidak boleh jadi anggota untuk parti sebegini,” katanya dalam sidang media di di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, beliau akan berada di luar Umno selagi Najib memimpin parti itu.

Mahathir berkata tindakan itu terpaksa diambil kerana sayangkan negara ini. Beliau pada 19 Mei 2008 pernah melakukan tindakan sama sebagai tanda protes kepada pentadbiran perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mahathir menyertai Umno semula pada 2009 selepas Abdullah berundur. Reuters melaporkan beliau sebagai berkata tidak akan membentuk sebuah parti baru mahupun menyertai mana-mana parti. 

Selain Mahathir, turut meninggalkan Umno hari ini adalah isterinya,Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan bekas pemimpin Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Mahathir antara pemimpin yang lantang mengkritik pentadbiran Najib, terutamanya dalam isu syarikat pelaburan negara 1MDB yang sarat hutang.

Baru-baru ini anak beliau Datuk Seri Muhkriz juga digugurkan sebagai menteri besar Kedah, tindakan yang dilihat sebagai reaksi balas kem pro-Najib.

Kedudukan Najib kini dilihat semakin mencengkam dalam Umno dan kerajaan, terutamanya selepas peguam negara membersihkannya daripada sebarang salah laku dalam kes derma RM2.6 bilion ke dalam akaunnya dan SRC International.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dilihat hampir senada dengan Mahathir, juga telah digantung daripada jawatannya minggu lalu lapor MalaysiaKini


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails