Sunday, January 31, 2016

Zahid Kecewa Peguam Negara Switzerland Keluar Kenyataan Menerusi Media


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Peguam Negara Switzerland Michael Lauber yang membuat kenyataan menerusi media mengenai hasrat pihaknya mendapatkan butiran lanjut berhubung siasatan terhadap dakwaan kecurian AS$4 bilion daripada syarikat milik kerajaan Malaysia

Timbalan perdana menteri itu berkata, hasrat sedemikian sebaiknya disampaikan menerusi komunikasi di antara kerajaan dan kerajaan.

"Saya harap maklumat sedemikian mesti disalurkan melalui saluran rasmi kerajaan kerana ia adalah berdasarkan “G2G” (kerajaan kepada kerajaan).

"Dengan membuat kenyataan terbuka begitu, pada hemat saya, ia tidak baik, kerana ia bukan sahaja akan menyebabkan kerenggangan hubungan antara 2 negara tetapi juga menyebabkan berat sebelah dalam laporan media," kata Zahid.

Beliau berkata demikian kepada wartawan sewaktu ditemui selepas menutup pameran Malaysian Inbound Tourism Association Fair di Kuala Lumpur, petang ini.

Pendakwa raya Switzerland dalam 1 kenyataan media semalam berkata, akan meminta bantuan pihak berkuasa Malaysia berhubung siasatan kecurian besar-besaran daripada sebuah firma milik kerajaan yang ketika ini berdepan skandal rasuah.

Penyiasat Switzerland mempercayai kira-kira AS$4 bilion (RM16.8 bilion) dicuri daripada syarikat milik kerajaan Malaysia, dana yang diperuntukkan untuk tujuan ekonomi dan projek pembangunan di negara ini.

Sebahagian wang tunai dipindahkan ke dalam akaun berpangkalan di Switzerland milik seorang pegawai dari Malaysia dan juga bekas pegawai daripada Emiriyah Arab Bersatu, kata peguam negara Switzerland.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, Putrajaya akan menghantar Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bertemu Lauber bagi mendapatkan butiran lanjut berkenaan permintaan mereka.

"Kita akan menyerahkan tugas mendapatkan butiran yang dinyatakan itu melalui peguam negara kita untuk bertemu peguam negara Switzerland," katanya.

Susulan kenyataan pejabat peguam negara Switzerland itu, Apandi berkata semalam, pihak berkuasa Malaysia termasuk Jabatan Peguam Negara komited bekerjasama dengan semua entiti penguatkuasaan undang-undang luar negara berkaitan, menerusi konvensyen dan perjanjian antarabangsa yang sah, berhubung siasatan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, pejabatnya akan mengambil segala langkah perlu membuat susulan dan bekerjasama dengan rakan sejawatannya di negara berkenaan.

Sementara itu, 1MDB dalam satu kenyataan semalam berkata, syarikat itu tidak dihubungi mana-mana pihak berkuasa undang-undang dari luar negara mengenai sebarang perkara yang mempunyai kaitan dengannya ~ The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails