Sunday, January 31, 2016

Mukhriz Kata Sultan Kedah Murka Kepada Yang Memberontak Terhadapnya..


Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua’adzam Shah dikhabarkan murka terhadap kumpulan yang cuba menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

Perkara itu dimaklumkan oleh Mukhriz dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau menjelaskan keengganan EXCO UMNO Kedah menghadiri Mesyuarat EXCO menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang telah diatur oleh Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program dan aktiviti pembangunan untuk rakyat di Kedah.

Mukhriz menegaskan, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, beliau mendesak agar kesemua 14 Ketua UMNO Bahagian yang terlibat secara langsung dalam sidang media pada 20 Januari lepas dan enam orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang tidak hadir Mesyuarat EXCO pada 27 Januari lalu segera memohon maaf secara rasmi kepada Sultan Kedah dan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

“Saya telah menerima khabar sesunguhnya Duli Tuanku Sultan dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut.

“Yang lebih dikesali apabila tindakan itu disertai beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang sudah berikrar taat setia kepada Raja Pemerintahan ketika mengangkat sumpah jawatan masing-masing.

“Turut mendukacitakan, rentetan dari sidang media itu, enam daripada sembilan EXCO Kedah tidak menghadiri Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah pada 27 Januari lalu. Ini jelas sekali menyalahi peraturan pelantikan mereka sebagai penjawat awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat di hadapan Raja Pemerintah, seperti yang termaktub di dalam undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Kedah,” kata Mukhriz dalam kenyataan itu.

Tambahnya, tindakan 12 Ketua Bahagian dan dua Timbalan Ketua Bahagian mengheret ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam UMNO mengadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari lalu juga disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

“Malah sebilangan yang hadir pada sidang media itu telah maklum kepada saya bahawa mereka tidak mengetahui terlebih dahulu tujuan dan intipati kenyataan yang yang akan dibuat.

“Saya percaya desakan mereka tidak mewakili suara majoriti ahli UMNO dan yang lebih penting lagi, kehendak rakyat Negeri Kedah,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Mukhriz meminta setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Raja Pemerintah dan rakyat sehingga kemelut ini selesai ~ Free Malaysia Today


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails