Monday, December 28, 2015

Parti Politik Mana Yang Sultan Johor Maksudkan Ni?


Sultan Johor menggesa semua ahli politik supaya berhenti menggunakan retorik perkauman dan agama untuk menyembunyikan kelemahan mereka, lapor The Star hari ini.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, ahli politik perlu memberi tumpuan kepada memberi khidmat kepada rakyat, bukan memecahbelahkan mereka dengan menggunakan isu-isu sensitif.

"Saya tidak mahu ahli-ahli politik menggunakan kaum dan agama untuk mengeksploitasi sentimen rakyat untuk menutup ketidakcekapan mereka," titah Sultan Ibrahim dalam satu wawancara eksklusif bersama akhbar harian berbahasa Inggeris itu.

Baginda memberi amaran akan memanggil mana-mana ahli politik yang melakukan kesalahan itu di Johor untuk mendapatkan penjelasan, tidak kira sama ada mereka di pihak pembangkang atau kerajaan.

"Tolong jangan buang masa mewujudkan tajuk berita tanpa alasan yang kukuh. Hentikan retorik perkauman dan agama dan bekerja untuk rakyat.

"Memang, saya berharap ahli-ahli politik tidak akan menyemai rasa tidak percaya dan kecurigaan di kalangan rakyat dengan menggunakan isu-isu sensitif itu bagi menimbulkan keresahan dan ketegangan. Kita mesti kekal bersatu untuk menghadapi cabaran ekonomi dan politik."

Pengkritik mendakwa polarisasi kaum dan agama mencapai tahap kritikal tahun ini, dengan rakyat Malaysia menyaksikan pergaduhan di Plaza Low Yat dan Kota Raya di Kuala Lumpur serta perhimpunan baju merah yang disokong Umno.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata perhimpunan baju merah, atau "Himpunan Rakyat Bersatu" pada 16 September lepas adalah satu manifestasi kebangkitan orang Melayu untuk mempertahankan maruah mereka dan kepimpinan negara daripada dikutuk dan dihina.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ismail Sabri Yaakob menimbulkan kontroversi pada bulan Februari lalu apabila beliau menggesa orang Melayu memboikot peniaga Cina untuk menurunkan harga barang.

Pada Ogos, beliau mengilhamkan pembukaan pusat membeli-belah digital di mana hanya peniaga Melayu dan Bumiputera boleh membuka kedai di situ dan dipanggil "Low Yat 2", kurang sebulan selepas pergelutan kaum berlaku di pusat membeli-belah Low Yat di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Ismail juga menjadi juara dalam isu industri vape dengan berkata apa-apa sekatan hanya akan membunuh "perniagaan vape yang kebanyakannya dimiliki anak muda Melayu".

Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa yang dilaporkan mengatakan rasisme dibenarkan Islam, akan tetapi kemudiannya menafikan kenyataan itu.


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails