Wednesday, December 30, 2015

Maksud Saya Berniaga Di Internet, Bukan Buat Dua Kerja, Kata Ahmad Maslan


Datuk Ahmad Maslan mendakwa kenyataannya mengenai “dua kerja” disalah tafsir kerana beliau bermaksudkan menceburi perniagaan atas talian.

Timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata apa yang cuba dilontarkannya berniat baik namun disalah tafsir akibat laporan negatif media tertentu.

“Saya kata (selain) kerja sedia ada, buat perniagaan atas talian kerana rakyat Malaysia ini minat media sosial.

“Kadangkala ber-WhatsApp sampai jauh tengah malam. (Menggunakan) Facebook, Twitter dan lain-lain, tidak tahulah hasil apa yg mereka dapat itu?

“Alangkah eloknya kalau mereka belajar tentang e-dagang, dalam digital ekonomi ini boleh menambah pendapatan,” katanya dalam satu sidang media di Menara Matrade hari ini.

Warga media sosial hangat membicarakan kenyataan Ahmad di Twitter, menggunakan kata kunci #2kerja, selepas ketua penerangan Umno menyifatkan tidak janggal melakukan kerja kedua.

Ahli Parlimen Pontian menyifatkan beliau sendiri melakukan tiga kerja iaitu sebagai timbalan menteri, ketua penerangan parti dan ahli parlimen.

Ahmad hari ini mendakwa media memutar belit kenyataannya untuk mencetuskan kontroversi.

“Apa kata kalau kita spin sesuatu itu ke arah positif. Kalau kita spin suatu perkara ke arah negatif maka selamanya negatif dan kita tidak dapat mencapai apa-apa manfaat.

“Jadi janganlah apa saya cadang dilihat sudut negatif, harap dilihat dari sudut positif. Punca saya beri pandangan itu kerana saya lihat potensi online business ini,” katanya lapor The Malay Mail


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails