Wednesday, December 30, 2015

Kejatuhan Nilai Ringgit Sebabkan Pelajar Mesir Makan Nasi Dengan Kuah Kari.. Ada Menteri Peduli?


"Kami makan nasi dengan kuah kari daripada perencah mi segera tanpa lauk kerana tak ada duit nak beli makanan lain,".

Itu pengakuan seorang pelajar Ulum Islamiyah dari Universiti Al Azhar, Mesir, Mohd Muin Mohd Noor ketika bercerita tentang kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh pelajar-pelajar di Malaysia yang tidak mendapat sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan Malaysia.

"Kebanyakan daripada kami adalah pelajar persendirian yang datang dengan pelbagai janji manis dari pihak tertentu seperti Mara, JPA dan banyak lagi.

"Walaupun tak ada hitam putih, hanya janji mulut, tetapi kami yakin akan dibantu selepas tamat pengajian tahun pertama seperti yang dijanjikan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Pelajar Melayu Mesir di Kelab Sultan Sulaiman tengahari tadi.

Katanya, dengan kejatuhan nilai ringgit, jumlah wang yang dikirim oleh ibu bapa semakin tidak mencukupi untuk menyara kehidupan di Mesir.

"Banyak bezanya. Dulu RM500 boleh bertahan sampai hujung bulan tetapi hari ini, bila tiba tengah bulan kami dah mula tak makan.

"Duit yang ada kami gunakan untuk pergi kuliah dan perkara-perkara yang lebih memerlukan untuk pembelajaran," ujarnya.

Menurut Mohd Muin, mereka pernah memohon bantuan daripada Pusat Pungutan Zakat tetapi semua permohonan mereka ditolak.

"Alasan yang diberi permohonan kami tidak lengkap sedangkan apa yang diminta semuanya telah kami sertakan termasuklah surat sokongan daripada kedutaan Malaysia.

"Kalau dah memang tak nak beri, pelbagai alasan yang akan mereka keluarkan sebab mana mungkin daripada semua permohonan kami tidak ada satu pun yang tidak lengkap," jelasnya.

Katanya, kesusahan yang ditanggung tidak siapa pun yang peduli, malah ada pelajar yang terpaksa balik ke Malaysia tanpa menamatkan pengajian kerana tidak mampu.

"Balik Malaysia pun tak boleh sambung belajar sebab sijil-sijil kami di sana kononnya tidak setaraf dengan kelayakan kemasukan universiti di Malaysia.

"Malang sekali apabila ramai di antara yang terkandas adalah pelajar tahun akhir perubatan yang merupakan pelajar cemerlang tetapi gagal menduduki peperiksaan kerana tidak menjelaskan yuran," katanya.

Sambil melahirkan rasa syukur, Mohd Muin terharu apabila Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) sedia mendengar permasalahan mereka.

"Kami datang jumpa Datuk Ibrahim Ali dan dia mendengar masalah kami dan sedia membantu selagi boleh.

"Bukan kami hendakkan kesenangan tetapi cukuplah kalau dapat membantu meringankan beban menyara hidup di sana.

"Kami di sana kerana menuntut ilmu dan tidak pernah terlintas sekali pun untuk berpoya-poya," ujarnya sambil mengharapkan ramai yang akan memberi sumbangan kepada tabung yang dilancarkan hari ini. - MalaysiaGazette


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails