Tuesday, October 27, 2015

Kos himpunan ‘baju merah’ hampir sekali ganda Bersih 4 - KDN


Polis Diraja Malaysia (PDRM) menanggung hampir sekali ganda kos keseluruhan untuk Himpunan Rakyat Bersatu, atau lebih dikenali 'himpunan baju merah' berbanding himpunan Bersih 4, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri itu berkata, PDRM menggerakkan 191 pegawai dan 2,419 anggota untuk himpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos manakala bagi himpunan baju merah pada 16 September, pasukan keselamatan itu menggerakkan seramai 263 pegawai dan 3,648 anggota mereka.

"Kos keseluruhan untuk himpunan Bersih 4 adalah RM2,737,440, manakala bagi kos keseluruhan himpunan Rakyat Bersatu adalah RM4,500,927.50," kata Zahid dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan ahli Parlimen DAP dari Seremban, Anthony Loke, yang bertanyakan jumlah anggota polis dan kos keseluruhan yang ditanggung PDRM bagi kedua-dua himpunan tersebut.

"Bagi kedua-dua penugasan yang terlibat, PDRM menggunapakai semua elemen dalam PDRM yang terdiri daripada keanggotaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Cawangan Trafik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), dan Cawangan K9 JSJ, serta lain-lain elemen.

"Kesemua elemen ini adalah di bawah kawal selia ketua polis Kuala Lumpur," kata Zahid, yang juga ahli Parlimen Bagan Datoh lapor The Malaysian Insider


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails